IKLAN

Wednesday, April 1, 2015

4 Kaedah Penulis Mencari Idea

Pada zaman sekolah dulu, cikgu Bahasa Melayu saya pernah berpesan. Sebaik saja kita membaca soalan karangan, sebenarnya ada berpuluh-puluh dan berates-ratus idea sudah ada dalam fikiran.
Disebabkan itu, berlakulah kesesakan idea dalam fikiran hingga membuatkan ia tersangkut dan tidak dapat dikeluarkan di atas kertas.
Disebabkan itu, cikgu saya itu telah berpesan supaya kami ambil masa lima minit untuk menulis semua idea yang terlintas dan lima minit seterusnya untuk memilih idea yang terbaik bagi menyusun pendahuluan, isi dan juga penutup.
Itu karangan sekolah, panjangnya hanya beberapa muka surat saja. Bagaimana pula jika kita hendak menulis novel?
Dari mana mahu dapatkan idea?
Baik, dalam artikel kali ini saya akan kongsikan beberapa kaedah yang boleh dijadikan sebagai tempat untuk kita mendapatkan idea.

YouTube.

YouTube adalah laman video yang ada pelbagai koleksi siaran untuk tontonan kita. Daripada cerita sedih, perang dan gembira hinggalah kepada cerita-cerita masyarakat dari dalam negara dan juga antarabangsa.
Sebelum menulis novel Usahawan Cilik Hana Banana, saya telah kirimkan satu proposal kepada editor. Namun mereka telah minta supaya ditambahkan idea yang lebih unik kerana pembaca remaja mahu baca sesuatu yang luar biasa, tidak mahu cerita pisang goreng saja.
Pada masa itu idea saya hanyalah mahu menulis tentang bisnes pisang goreng yang boleh dijalankan oleh remaja. Modalnya juga kecil kerana peralatan memasak boleh dikatakan ada dalam setiap rumah.
Selepas membuat carian tentang pisang goreng. Saya ditakdirkan bertemu dengan video pisang goreng keju dan chocolate.

Hampir menitik juga air liur selepas menonton video itu. Kemudian, saya kirimkan link video itu bersama beberapa keping gambar kepada editor dan mereka bersetuju dengan idea itu.
Maka saya pun menulis manuskrip sehingga siap dan terhasil lah Usahawan Cilik : Hana Banana.

Surat Khabar

Surat khabar baru saja naik harga menjelang 2015 ini. Penjual itu kata harga kertas sudah naik. Maka tidak mustahil juga harga buku akan naik kerana buku juga menggunakan kertas. Baik, sebenarnya surat khabar adalah medium yang mengumpul cerita tentang kejayaan, masalah, kesedihan, kemenangan, kekalahan dan pelbagai cerita lagi.
Dalam masa yang sama kita juga boleh membaca berita daripada pelbagai peringkat. Kadang-kadang ada juga cerita pelik yang tidak masuk akal disiarkan surat khabar. Kita sedia maklum, akhabar akan siarkan berita yang boleh menaikkan bilangan pembaca mereka. Dalam masa sama mereka perlu bersaing dengan akhbar bercetak yang lain.
Malah pada masa ini ada surat khabar yang sudah tidak lagi dicetak, hanya disiarkan secara dalam talian dan online saja. Jadi apa yang kita boleh buat adalah gunting berita yang difikirkan boleh menjadi bahan bantu untuk kita menulis.
Ataupun bagi menjimatkan tempat menyimpan, kita boleh saja ambil gambar menggunakan telefon kamera dan simpan dalam fail idea di laptop.

Warung

Warung adalah tempat melepak dan tempat berborak. Di sini, kebisaanya suasana agak bising dan riuh. Tip jika mahu dapatkan idea di warung ataupun mamak ialah kita perlu pasang telinga dan jaga tepi kain orang.
Tidak perlu duduk di tepi kain mereka dan menyampuk perbualan orang yang tidak dikenali itu. Hanya perlu diam dan dengar dengan taat.
Cikgu penulisan skrip saya berkata dia pernah mengolah cerita yang dia dengar sewaktu sedang bersarapan. Pada awalnya, kumpulan yang ada disebelahnya itu sedang mengumpat sesama mereka dan Cikgu itu hanya mendengar sambil bersarapan.
Sebaik saja pulang ke rumah, beliau siapkan proposal dan dihantar ke penerbit. Akhirnya drama itu mendapat sambutan yang hebat daripada penonton.

Google

Google adalah ibarat kaunter pertanyaan di hotel. Cuma bezanya mereka tidak ada gadis comel dan manis yang menjawab setiap pertanyaan kita. Bagusnya, jika gadis comel yang menjawab semua soalan di Google mungkin kita akan mengambil masa yang lama bagi mendapatkan jawapan yang dicari. Silap-silap jawapan yang dicari, jodoh pula yang kita akan dapat.
Kembali semula kepada Google, Tuan-tuan boleh tanya apa saja soalan mereka tidak akan jemu memberikan kita jawapan. Cuma, jika mahu dapatkan jawapan yang betul maka kita perlulah bertanya soalan yang betul juga.
Jadi bagaimana mahu bertanya soalan yang betul seterusnya menjimatkan masa kita untuk mencari jawapan dan mungkin juga mencari jodoh? Ini jawapannya, mohon Tuan-tuan gunakan teknik-teknik yang dikongsikan di sini, https://support.google.com/websearch/answer/134479?hl=en
Akhir sekali saya suka tekankan supaya setiap penulisan kita pastikan ada ilmu dalam setiap manuskrip yang ditulis.
Supaya pembaca bertambah ilmu setiap kali membaca buku kita.
Supaya kehidupan mereka bertambah-tambah baik selepas membaca buku kita.
Supaya mereka rasa berbaloi untuk membeli buku kita berkali-kali.

No comments:

Post a Comment

Group WhatsApp Terbit Idea