IKLAN

Wednesday, April 1, 2015

Bagaimana P Ramlee menghasilkan karya evergreen

Apakah yang menyebabkan karya P. Ramlee masih lagi disiarkan walaupun beliau sudah meninggalkan kita bertahun-tahun lamanya? Apa yang menyebabkan lagu yang dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza dan karya M. Nasir masih lagi didendangkan di radio pada masa ini walaupun ada lagu sudah bertahun-tahun dulu terbit.
Mengapa pula ada artis yang satu masa dulu pernah memenangi pertandingan anjuran stesen TV berbayar hingga mendapat hadiah ratusan ribu ringgit. Kini namanya sudah tidak lagi disebut-sebut. Lagu yang dinyanyikan pada hari kemenangan dulu pun sudah tidak disiarkan oleh radio. Diganti dengan lagu yang dimenangi oleh peserta musim terbaru pertandingan itu.
Dalam masa yang sama ada juga peserta yang tersingkir lebih awal daripada pertandingan itu dapat merakam lebih banyak lagu dan menerbitkan banyak album. Ada juga peserta yang terkeluar lebih awal menjadi DJ radio.
P. Ramlee dan adalah seorang karyawan yang sentiasa menerbitkan lagu, filem, menulis banyak lirik dan juga berlakon dalam banyak filem. Semasa mereka sedang berada di kemuncak kerjaya pun mereka berkarya, ketika ditimpa ujian pun diberitakan mereka masih lagi berkarya.
P. Ramlee yang kita tahu kewujudannya hari ini mungkin tidak lagi akan diingati sekiranya beliau hanya bernyanyi satu lagu dan berlakon sebuah filem sahaja. Namun disebabkan beliau telah menulis dan menyanyikan lebih 400 buah lagu dan berlakon serta mengarah lebih daripada 60 buah filem. Maka, namanya masih di sebut-sebut dan hasil karyanya masih lagi dinikmati meskipun jasanya sudah disemadikan di Jalan Ampang berpuluh-puluh tahun.
Dalam satu temubual dalam sebuah akhbar M. Nasir pernah berkata, “Sebab itu juga, banyak yang jadi malar segar kerana saya buat banyak lagu. Kerana itu juga, kalau tiada lagu tahun ini pun, ia akan tetap dimainkan.”
Cari perkataan ‘banyak lagu’ dalam ayat di atas, sebenarnya itulah kata kuncinya.
Sebagai penulis, apa yang boleh kita pelajari daripada sejarah M. Nasir dan juga P. Ramlee?
  1. Tuntut ilmu melalui pembacaan, pendengaran, dan pemerhatian.
  2. Tulis manuskrip sehingga siap.
  3. Terbit.
  4. Ulang langkah pertama sehingga kita tidak mampu menulis lagi.
Menjadi penulis, tugas kita adalah menulis dan menyampaikan ilmu dalam bentuk cerita. Sekiranya kita mahu menyampaikan ilmu, maka kita terlebih dahulu perlu dapatkan ilmu melalui pembacaan, pengajian, menonton video ilmu dan sebagainya.
Harus diingat, tanpa ilmu penulisan kita tidak akan menjadi bahan yang dapat tahan lama dalam pasaran. Ia akan menjadi bacaan santai yang hanya dibaca bila lapang dan ditinggalkan apabila ada kerja yang perlu dilakukan. Sedangkan ilmu tidak begitu, orang yang membacanya mungkin akan beramal dengan ilmu itu. Sekiranya ilmu itu bermanfaat dan mendatangkan hasil kepadanya.
Tanpa ilmu, kita menulis banyak buku pun ia akan menjadi karya yang sia-sia.
#HajiDell, “Sebatang pokok cili tidak dapat mengeluarkan cili yang cukup untuk dibekalkan kepada kilang cili sos.”

No comments:

Post a Comment

Group WhatsApp Terbit Idea