IKLAN

Tuesday, April 28, 2015

Quote Terbit Idea


Terbit Buku Sendiri 3 : 6 Jenis Kos Yang Terlibat Bagi Menerbitkan Buku.

1. KOS KAVER
Yang dimaksudkan dengan kos kaver adalah bayaran kepada designer yang telah menyediakan kaver buku Tuan-tuan.

Kaver yang baik adalah kaver yang dapat memikat hati bakal pembaca untuk menyentuh, menyelak dan memeluk buku itu untuk dibawa pulang ke rumah.

Jangan nilai buku daripada kaver bukanlah ayat yang boleh menjadi pegangan penulis yang mahu hidup sepenuh masa dengan pendapatan daripada jualan buku.

Penerbit pun sanggup membayar ratusan hingga ribuan ringgit kepada designer untuk mendapatkan kaver yang menarik dan menjual.
.

2. KOS LAYOUT dan EDITING
Layout buku berbeza dengan layout ebook. Sekiranya kita menulis dan menerbitkan manuskrip dalam bentuk ebook.

Penulis tidak perlu bimbang tentang ukuran dan kedudukan perkataan. Namun, untuk buku bercetak, susunan layout dan saiz huruf sangat penting.

Ini kerana, susun atur kedudukan ayat dalam buku bercetak tidak boleh diubah sebaik saja buku siap dicetak. Disebabkan itu, penulis perlu pastikan saiz huruf sesuai untuk dibaca sebaik saja buku siap dicetak.

Sekiranya kita menulis buku kanak-kanak, maka saiz perkataan perlulah tidak menjejaskan pandangan mata pembaca. Begitu juga dengan umur-umur pembaca yang disasarkan.

Sekiranya mampu, bayar kepada editor yang boleh membuat susun atur kedudukan ayat. Jika tidak boleh juga buat sendiri, gunakan apa saja sumber yang ada di rumah.
.

3. KOS CETAK
Penulis perlu dapatkan kos cetak daripada pencetak sebelum menghantar manuskrip untuk dicetak.

Ini bagi memastikan penulis dapat merancang kewangan mereka seterusnya memastikan ia memberikan pulangan yang berbaloi untuk ulang cetak dan cetakan buku kedua dan seterusnya
.

4. KOS PEMASARAN
Pada masa ini media sosial telah banyak mengangkat orang yang tidak ada apa-apa menjadi seseorang.

Bertambah menarik kebanyakannya memberikan pengguna akses percuma untuk menjadi dikenali di seluruh dunia. Jika tidak pun mungkin dikenali di Malaysia.

Twitter, Facebook, Blog, YouTube itu semua adalah tempat bermain dan membuang masa. Namun, penulis perlu gunakan sepenuhnya peluang itu untuk memasarkan diri dan juga produk hasil tulisan mereka.

Gunakan medium yang percuma terlebih dahulu sebelum menggunakan bahan 
promosi yang berbayar.
.

5. KOS GUDANG
Penulis yang terbit sendiri secara Print On Demand (POD) tidak perlu memikirkan hal ini.

Hanya penerbit saja yang menanggung kos ini kerana mereka mempunyai judul buku yang banyak untuk disimpan di dalam stor sebelum buku beredar ke rak di kedai buku.

Penerbit perlukan gudang untuk menyimpan buku. Selain itu penerbit juga perlukan pekerja gudang, forklift untuk mengangkat pallet buku, dan lain-lain.

Penulis yang menerbitkan sendiri dan terbit secara POD tidak perlukan forklift dan pekerja untuk mengurus buku di gudang.
.

6. KOS PENGHANTARAN
Ini adalah kos yang berkaitan sepanjang tempoh menguruskan manuskrip sehingga menjadi buku.

Penulis juga boleh fikirkan tentang kos penghantaran (pos) kepada pembaca buku sebelum menetapkan harga sesebuah buku.
.


Robert Frost, “No tears in the writer, no tears in the reader. No surprise in the writer, no surprise in the reader."





Monday, April 27, 2015

Quote Terbit Idea


Terbit Buku Sendiri 2 : 3 Golongan Yang Boleh Terbit Buku Sendiri.

#TerbitIdea


1. Trainer 
Seorang trainer, penceramah, motivator, dan juga menerbitkan buku sendiri. Ia dapat membantu penjenamaan Tuan-tuan kepada para pelanggan. Dalam masa yang sama ia juga dapat menjadi pendapatan sampingkan semasa Tuan menjalankan program. 

Ia membantu para peserta untuk lebih kenal Tuan dan syarikat dengan lebih dekat. Selain itu Tuan sudah mempunyai khalayak pendengar sendiri, apa yang perlu dibuat adalah berikan mereka produk supaya mereka dapat bawa pulang ilmu Tuan ke rumah. 

Saya ada mengenali beberapa orang trainer yang sudah penat berceramah, akhirnya menulis buku. 
.

2. Rakyat biasa.
Sudah pasti Tuan mempunyai idea yang mahu disampaikan kepada dunia. Jadi Tuan boleh tulis dan terbitkan buku supaya idea itu tidak bersemadi bersama jasad apabila Tuan mati nanti.
.

3. Tuan yang sedang membaca artikel ini.
Tuan yang sedang membaca. Ya Tuanlah. Tuan juga boleh menerbitkan buku sendiri. Bukan penulis saja yang boleh menerbitkan buku. Jika tuan seorang petani, peguam, tukang bersih pejabat, atau penternak kambing pun boleh menerbitkan buku. 

Selagi ia ilmu bermanfaat yang perlu disampaikan kepada pembaca, maka ia boleh diterbitkan untuk membantu para pembaca menjadi lebih bijak.
.


Stephen King, “If you don't have time to read, you don't have the time (or the tools) to write. Simple as that.” 



Monday, April 20, 2015

Terbit Buku Sendiri : 1

Sekarang ini penerbit tidak perlu lagi bimbang mahu mendapatkan penulis. Bengkel penulisan juga boleh dikatakan sentiasa ada dianjurkan oleh penulis dan penerbit. Disebabkan itu kini penerbit sudah ada peluang untuk membuat pilihan hanya memilih penulis yang terbaik untuk diterbitkan manuskripnya.
.

Oleh itu penulis perlulah meningkatkan kualiti penulisan. Ini kerana setiap hari para editor dalam syarikat penerbitkan menerima puluhan emel proposal buku. Adakah proposal tuan-tuan menepati kehendak syarikat penerbitan itu?
.

Bagi memudahkan kerja memilih penulis yang berkualiti, penerbit menyaring penulis berdasarkan beberapa kriteria seperti berikut :

  1. Berapa ramai pengikut penulis itu di media sosial?
  2. Siapa penulis ini?
  3. Adakah bahasanya kemas ataupun perlukan rombakan manuskrip secara menyeluruh?
  4. Senarai ini berterusan....

Penerbit terpaksa membuat pilihan seperti itu kerana kos menerbitkan sebuah judul semakin tahun semakin meningkat. Jika penulis tidak popular, penerbit perlu keluarkan banyak kos untuk promosikan buku itu. 
.

Penulis yang sudah popular dan mempunyai pengikut sendiri lebih memudahkan tugas penerbit. Ini kerana penulis sudah mempunyai databasenya sendiri. Buku yang sudah dicetak dapat keluar cepat daripada gudang. Penerbit lebih pantas menjual buku. 
.

Bagaimanapun, bukan bermaksud terbit buku sendiri kita tidak perlu mempunyai maklumat bakal pembaca. Malah penulis yang memilih jalan untuk terbit buku sendiri perlu lebih lagi bekerja kuat mengumpul maklumat bakal pembaca.
.



Ariffuddin Sani

Wednesday, April 1, 2015

4 Kaedah Penulis Mencari Idea

Pada zaman sekolah dulu, cikgu Bahasa Melayu saya pernah berpesan. Sebaik saja kita membaca soalan karangan, sebenarnya ada berpuluh-puluh dan berates-ratus idea sudah ada dalam fikiran.
Disebabkan itu, berlakulah kesesakan idea dalam fikiran hingga membuatkan ia tersangkut dan tidak dapat dikeluarkan di atas kertas.
Disebabkan itu, cikgu saya itu telah berpesan supaya kami ambil masa lima minit untuk menulis semua idea yang terlintas dan lima minit seterusnya untuk memilih idea yang terbaik bagi menyusun pendahuluan, isi dan juga penutup.
Itu karangan sekolah, panjangnya hanya beberapa muka surat saja. Bagaimana pula jika kita hendak menulis novel?
Dari mana mahu dapatkan idea?
Baik, dalam artikel kali ini saya akan kongsikan beberapa kaedah yang boleh dijadikan sebagai tempat untuk kita mendapatkan idea.

YouTube.

YouTube adalah laman video yang ada pelbagai koleksi siaran untuk tontonan kita. Daripada cerita sedih, perang dan gembira hinggalah kepada cerita-cerita masyarakat dari dalam negara dan juga antarabangsa.
Sebelum menulis novel Usahawan Cilik Hana Banana, saya telah kirimkan satu proposal kepada editor. Namun mereka telah minta supaya ditambahkan idea yang lebih unik kerana pembaca remaja mahu baca sesuatu yang luar biasa, tidak mahu cerita pisang goreng saja.
Pada masa itu idea saya hanyalah mahu menulis tentang bisnes pisang goreng yang boleh dijalankan oleh remaja. Modalnya juga kecil kerana peralatan memasak boleh dikatakan ada dalam setiap rumah.
Selepas membuat carian tentang pisang goreng. Saya ditakdirkan bertemu dengan video pisang goreng keju dan chocolate.

Hampir menitik juga air liur selepas menonton video itu. Kemudian, saya kirimkan link video itu bersama beberapa keping gambar kepada editor dan mereka bersetuju dengan idea itu.
Maka saya pun menulis manuskrip sehingga siap dan terhasil lah Usahawan Cilik : Hana Banana.

Surat Khabar

Surat khabar baru saja naik harga menjelang 2015 ini. Penjual itu kata harga kertas sudah naik. Maka tidak mustahil juga harga buku akan naik kerana buku juga menggunakan kertas. Baik, sebenarnya surat khabar adalah medium yang mengumpul cerita tentang kejayaan, masalah, kesedihan, kemenangan, kekalahan dan pelbagai cerita lagi.
Dalam masa yang sama kita juga boleh membaca berita daripada pelbagai peringkat. Kadang-kadang ada juga cerita pelik yang tidak masuk akal disiarkan surat khabar. Kita sedia maklum, akhabar akan siarkan berita yang boleh menaikkan bilangan pembaca mereka. Dalam masa sama mereka perlu bersaing dengan akhbar bercetak yang lain.
Malah pada masa ini ada surat khabar yang sudah tidak lagi dicetak, hanya disiarkan secara dalam talian dan online saja. Jadi apa yang kita boleh buat adalah gunting berita yang difikirkan boleh menjadi bahan bantu untuk kita menulis.
Ataupun bagi menjimatkan tempat menyimpan, kita boleh saja ambil gambar menggunakan telefon kamera dan simpan dalam fail idea di laptop.

Warung

Warung adalah tempat melepak dan tempat berborak. Di sini, kebisaanya suasana agak bising dan riuh. Tip jika mahu dapatkan idea di warung ataupun mamak ialah kita perlu pasang telinga dan jaga tepi kain orang.
Tidak perlu duduk di tepi kain mereka dan menyampuk perbualan orang yang tidak dikenali itu. Hanya perlu diam dan dengar dengan taat.
Cikgu penulisan skrip saya berkata dia pernah mengolah cerita yang dia dengar sewaktu sedang bersarapan. Pada awalnya, kumpulan yang ada disebelahnya itu sedang mengumpat sesama mereka dan Cikgu itu hanya mendengar sambil bersarapan.
Sebaik saja pulang ke rumah, beliau siapkan proposal dan dihantar ke penerbit. Akhirnya drama itu mendapat sambutan yang hebat daripada penonton.

Google

Google adalah ibarat kaunter pertanyaan di hotel. Cuma bezanya mereka tidak ada gadis comel dan manis yang menjawab setiap pertanyaan kita. Bagusnya, jika gadis comel yang menjawab semua soalan di Google mungkin kita akan mengambil masa yang lama bagi mendapatkan jawapan yang dicari. Silap-silap jawapan yang dicari, jodoh pula yang kita akan dapat.
Kembali semula kepada Google, Tuan-tuan boleh tanya apa saja soalan mereka tidak akan jemu memberikan kita jawapan. Cuma, jika mahu dapatkan jawapan yang betul maka kita perlulah bertanya soalan yang betul juga.
Jadi bagaimana mahu bertanya soalan yang betul seterusnya menjimatkan masa kita untuk mencari jawapan dan mungkin juga mencari jodoh? Ini jawapannya, mohon Tuan-tuan gunakan teknik-teknik yang dikongsikan di sini, https://support.google.com/websearch/answer/134479?hl=en
Akhir sekali saya suka tekankan supaya setiap penulisan kita pastikan ada ilmu dalam setiap manuskrip yang ditulis.
Supaya pembaca bertambah ilmu setiap kali membaca buku kita.
Supaya kehidupan mereka bertambah-tambah baik selepas membaca buku kita.
Supaya mereka rasa berbaloi untuk membeli buku kita berkali-kali.

Mengapa Perlu Menulis Novel Secara Bersiri

Saya penulis baru, mengapa saya perlu menulis buku secara bersiri? Jika buku pertama dalam siri itu tidak laku, adakah saya perlu meneruskannya?
Ain Maisarah mempunyai banyak buku yang menceritakan tentang situasi di sekolah Sri Bangsar. Dalam masa yang sama beliau juga mempunyai siri-siri lain.
Adakah beliau menulis seorang diri? Tidak, beliau mempunyai lebih daripada seorang penulis bersama.
Jika Tuan Puan membuat semakan, setiap penulis bersama yang dibangunkan oleh pasukan Blink telah menerbitkan siri masing-masing. Setiap penulis membangunkan sebuah siri dan menghasilkan berberapa judul buku bagi setiap siri.
Lihat juga kepada Amanda Hocking, buku pertamanya terjual sebanyak 45 unit dalam masa dua minggu selepas dimuat naik untuk dijual dan dibaca di Kindle. Ia berlaku pada 2010.
Sebulan selepas itu, beliau muat naik pula novel kedua dan ia terjual sebanyak 38 unit dalam masa satu hari. Pada Januari 2011, jualan karya beliau dalam bulan itu mencecah USD145,000.00
Sekarang cuba kita buat sedikit pembacaan, berapa banyak buku yang telah ditulis dan adakah beliau menulis seorang diri? Perhatikan juga, apakah fokus tema yang beliau pilih dalam semua karyanya?
Mari kita perhatikan pula kepada artis yang menerima bayaran royalti tertinggi di Malaysia seperti M. Nasir, Siti Nurhaliza dan Yuna. Mengapa karyawan yang saya senaraikan itu masih lagi berkarya walaupun nama mereka sudah berada di puncak dan juga menerima pendapatan yang lumayan?

 Pasti mereka mempunyai sebab yang tersendiri, namun persamaan yang ada pada mereka adalah terus berkarya walaupun sudah ada banyak karya dan sudah kaya.
Seterusnya, siapakah yang boleh menulis buku secara bersiri? Siapa saja boleh menulis buku bersiri sekiranya mereka tahu kaedah dan mahu melakukannya.
  1. Buat kajian berkenaan siri buku yang sudah ada di pasaran, rujuk amazon.com dan juga kedai buku di Malaysia. Bertanya kepada pekerja di kedai buku.
  2. Senaraikan apa kekuatan dan kelemahan mereka.
  3. Rancang siri buku kita.
  4. Rancang kaedah pemasaran buku.
  5. Mulakan menulis sehingga boleh dijual.
  6. Promosi.
  7. Ulang langkah satu sehingga tamat siri yang dirancang.
Seorang kawan saya yang mengusahakan tanaman rockmelon berkata dalam sebuah kebun 10% tanaman akan rosak dan itu adalah normal. Apa yang beliau lakukan ialah terus menanam dan menjaga tanaman yang masih elok sehingga mendapatkan hasil untuk dijual.
Sebagai penulis, apa yang kita perlu buat adalah menulis dan sentiasa perbaiki mutu penulisan. Mungkin sebahagian daripada karya awal kita tidak akan meletup dan best seller, namun mungkin buku yang ketiga, kesepuluh dan keempat puluh baru dapat rezeki bestseller. Maka, pembaca akan mencari buku-buku yang pernah dihasilkan sebelum ini. Insya-Allah.
#HajiDell, “Hanya tukang masak yang gembira dengan kerjanya akan memasak makanan yang sedap. Dia tidak memasak kerana duit, tetapi kerana dia suka memasak, kemudian orang sanggup menyerahkan duit untuk menikmati hidangannya.”

Bagaimana P Ramlee menghasilkan karya evergreen

Apakah yang menyebabkan karya P. Ramlee masih lagi disiarkan walaupun beliau sudah meninggalkan kita bertahun-tahun lamanya? Apa yang menyebabkan lagu yang dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza dan karya M. Nasir masih lagi didendangkan di radio pada masa ini walaupun ada lagu sudah bertahun-tahun dulu terbit.
Mengapa pula ada artis yang satu masa dulu pernah memenangi pertandingan anjuran stesen TV berbayar hingga mendapat hadiah ratusan ribu ringgit. Kini namanya sudah tidak lagi disebut-sebut. Lagu yang dinyanyikan pada hari kemenangan dulu pun sudah tidak disiarkan oleh radio. Diganti dengan lagu yang dimenangi oleh peserta musim terbaru pertandingan itu.
Dalam masa yang sama ada juga peserta yang tersingkir lebih awal daripada pertandingan itu dapat merakam lebih banyak lagu dan menerbitkan banyak album. Ada juga peserta yang terkeluar lebih awal menjadi DJ radio.
P. Ramlee dan adalah seorang karyawan yang sentiasa menerbitkan lagu, filem, menulis banyak lirik dan juga berlakon dalam banyak filem. Semasa mereka sedang berada di kemuncak kerjaya pun mereka berkarya, ketika ditimpa ujian pun diberitakan mereka masih lagi berkarya.
P. Ramlee yang kita tahu kewujudannya hari ini mungkin tidak lagi akan diingati sekiranya beliau hanya bernyanyi satu lagu dan berlakon sebuah filem sahaja. Namun disebabkan beliau telah menulis dan menyanyikan lebih 400 buah lagu dan berlakon serta mengarah lebih daripada 60 buah filem. Maka, namanya masih di sebut-sebut dan hasil karyanya masih lagi dinikmati meskipun jasanya sudah disemadikan di Jalan Ampang berpuluh-puluh tahun.
Dalam satu temubual dalam sebuah akhbar M. Nasir pernah berkata, “Sebab itu juga, banyak yang jadi malar segar kerana saya buat banyak lagu. Kerana itu juga, kalau tiada lagu tahun ini pun, ia akan tetap dimainkan.”
Cari perkataan ‘banyak lagu’ dalam ayat di atas, sebenarnya itulah kata kuncinya.
Sebagai penulis, apa yang boleh kita pelajari daripada sejarah M. Nasir dan juga P. Ramlee?
  1. Tuntut ilmu melalui pembacaan, pendengaran, dan pemerhatian.
  2. Tulis manuskrip sehingga siap.
  3. Terbit.
  4. Ulang langkah pertama sehingga kita tidak mampu menulis lagi.
Menjadi penulis, tugas kita adalah menulis dan menyampaikan ilmu dalam bentuk cerita. Sekiranya kita mahu menyampaikan ilmu, maka kita terlebih dahulu perlu dapatkan ilmu melalui pembacaan, pengajian, menonton video ilmu dan sebagainya.
Harus diingat, tanpa ilmu penulisan kita tidak akan menjadi bahan yang dapat tahan lama dalam pasaran. Ia akan menjadi bacaan santai yang hanya dibaca bila lapang dan ditinggalkan apabila ada kerja yang perlu dilakukan. Sedangkan ilmu tidak begitu, orang yang membacanya mungkin akan beramal dengan ilmu itu. Sekiranya ilmu itu bermanfaat dan mendatangkan hasil kepadanya.
Tanpa ilmu, kita menulis banyak buku pun ia akan menjadi karya yang sia-sia.
#HajiDell, “Sebatang pokok cili tidak dapat mengeluarkan cili yang cukup untuk dibekalkan kepada kilang cili sos.”

Bagaimana menukarkan sinopsis biasa-biasa menjadi Luar Biasa!

Dalam artikel menulis sinopsis sebelum ini saya ada sebutkan supaya penulis menyerahkan sinopsis mereka untuk dibaca oleh pembaca kedua dan ketiga.
Menyiapkan sinopsis ini umpama kerja memotong bawang. Walaupun ada waktunya mata kita pedih terkena percikan air bawang, ia tetap perkara wajib yang perlu dilakukan.
Sekarang kita bertanya siapakah mereka yang sepatutnya menjadi pembaca kedua dan ketiga?
Pilihlah pembaca yang jujur bukan pembaca yang mengampu. Berikan mereka salinan sinopsis kita yang sudah ditaip kemas. Kemudian minta mereka cincang sinopsis itu sehingga lumat.
Jika tuan-tuan berikan sinopsis yang bercetak, sediakan bersama sebatang pen merah dan serahkan kepada mereka.
Biarkan sinopsis itu diconteng. Sebagai penulis, kita dengar dan baca saja semua komen yang mereka cadangkan. Tidak perlu mempertahankan idea kita itu.
Komen dan cadangan mereka selaku pembaca terawal adalah sangat penting.
Pertimbangkan setiap idea dan cadangan serta komen mereka dan kemaskini sebelum dihantar kepada editor.
Bila perlu beri mereka baca?
Sebaik saja kita sudah siapkan sinopsis setiap bab. Serahkan kepada mereka. Berikan mereka masa untuk baca dan komen keseluruhan sinopsis.
Apa yang perlu dibuat selepas mereka baca?
Dengar dan baca setiap komen yang mereka berikan. Saya ulangi, dengar. Dengar saja tidak semestinya kita perlu terima jika cadangan dan komen mereka itu tidak sesuai dengan jiwa penulisan kita.
Mungkin ada yang boleh kita masukkan dan ubah. Dan mungkin juga cadangan mereka itu boleh digunakan untuk karya yang seterusnya
Apa tindakan yang seterusnya?
Siapkan sinopsis dan berikan pembaca kedua untuk semak.
Kemudian?
Ulang sehingga ada pembaca baru berkata, ‘Wow!’

Bagaimana Ada Penulis Boleh Menulis 4 Buku Setahun? Mengapa Kita Tidak.

Beberapa tahun dulu saya pernah mendengar perkongsian daripada Ain Maisarah, seorang penulis yang sudah ada lebih daripada 40 buah buku.
Beliau ceritakan proses menulis akan menjadi lancar sekiranya kita sudah siapkan rangka cerita bersama isi-isinya lengkap.
Jika tidak dibuat begitu, beliau pasti mengambil masa yang lama untuk menulis sebuah buku. Mengapa? Kerana masa yang diperuntukkan untuk menulis perlu digunakan juga untuk berfikir idea bab seterusnya.
Bayangkan anda dan isteri dari Kajang mahu ke Kuala Lumpur. Dalam pertengahan perjalanan, tiba-tiba sahaja isteri kata mahu ke Bangi. Terpaksalah berpatah balik. Dalam perjalanan ke Bangi, tiba-tiba isteri mengidam mahu ke Banting.
Begitulah perumpamaan jika kita menulis novel tanpa sinopsis.
Akhirnya proses menulis akan menjadi lambat dan beliau mungkin hanya dapat menulis setahun sebuah buku saja.
“Jadi apa yang beliau lakukan?”
Penulis bestseller itu duduk bersama pasukannya dan akan berbincang jalan cerita novel terlebih dahulu sebelum memulakan proses penulisan.
Beliau mengambil masa selama dua hingga tiga minggu bagi melengkapkan jalan cerita dan sinopsis setiap bab.
Dengan melakukan sedemikian, kerja menulis seterusnya menjadi lancar seperti memandu di lebuhraya
Jika tidak, penulis akan kerap berhenti dan berfikir mencari idea untuk menyambung cerita.
“Saya sudah buat sinopsis dua muka surat yang diserahkan kepada editor. Adakah itu mencukupi?”
Tidak. Sinopsis perlu dipanjangkan di setiap bab. Setiap bab perlu mempunyai satu sinopsis yang lengkap konfliknya, lokasi watak berada, waktu malam atau siang, bagaimana cuaca pada waktu itu, adakah bab yang sedang ditulis mempunyai kesinambungan dengan bab sebelum dan bab seterusnya.
Ia perlu ditulis lengkap, supaya kita juga tidak terkeliru dan pening bila mahu menulis. Ada penulis tertukar watak dalam setiap bab. Kita tidak mahu perkara itu terjadi.
“Apa yang perlu ada dalam sinopsis setiap bab?”

Jangan biarkan novel anda dibunuh…. oleh diri sendiri

“Novel tanpa sinopsis seperti pengembara hilang kompas. Dia tidak tahu ke mana kakinya melangkah. Adakah ke syurga ataupun tersungkur di pintu syurga.”
#HajiDell
“Apa yang perlu ada dalam sinopsis setiap bab?”
Nama watak, malam atau siang dan lokasi. Ini perkara asas.
Namun penulis masih boleh senaraikan maklumat detail yang diperlukan bagi setiap bab.
Tiga perkara di atas tadi sebaiknya perlu ada dalam setiap scene dalam novel kita. Supaya watak dalam novel itu bergerak dan tidak statik pada satu lokasi dan satu tempoh masa saja sepanjang cerita.
Dengan melakukan sedemikian, proses untuk adaptasi novel tuan-tuan menjadi skrip drama ataupun filem menjadi lebih mudah.
“Lagi apa yang perlu ada dalam sinopsis setiap bab?”
Apabila mengembara ataupun mahu pulang ke kampung. Pastinya kita sudah tentukan dimana mahu berhenti rehat sebelum memulakan perjalanan lagi.
Di mana kita akan melalui tol? Di simpang mana kita perlu hati-hati kerana ada lembu, dan mungkin juga ada hantu melintasi?
Dalam menulis sinopsis setiap bab juga. Kita perlu tentukan pada bab berapa kita mahu hantar watak ke luar negara.
Pada bab berapa kita mahu watak makan di depan bakal mertua? Dan pada bab berapa watak itu akan dikejar harimau?
Aturkan pencetus konflik, permulaan konflik, perbincangan, twist, klimaks, penamat cerita dan sebagainya semasa menulis sinopsis.
Semua itu perlu ditentukan semasa menulis sinopsis setiap bab. Kita boleh aturkan bila pembaca akan ketawa, menangis, geram, dan sakit perut.
“Berapa lama masa diambil untuk menulis sinopsis setiap bab?”
Ini soalan yang subjektif jawapannya. Bergantung pada masa yang kita ada. Tetapi apa yang boleh saya kongsikan, seorang penulis bestseller mengambil masa dua minggu untuk berbincang dan menulis sinopsis dan jalan cerita sahaja.
Selepas puas hati barulah proses menulis dimulakan.
“Jadi apa yang saya perlu buat sekarang?”
Pilih kategori bakal pembaca yang kita mahu tulis dan mulakan menulis sinopsis setiap bab. Kemudian berikan pembaca kedua untuk baca dan komen sinopsis itu.
“Siapa pembaca kedua?”
“Kenapa perlu bagi dia baca?”
Kita sambung dalam perkongsian seterusnya akan datang.

Cukupkah Menulis 20 Minit Sehari?

Berapa lama masa diambil untuk menulis buku dalam satu hari? Satu jam? Dua jam? 12 jam? Ataupun 25 jam?
Masa itu bergantung kepada jadual seharian kita. Adakah kita seorang penulis sepenuh masa ataupun kita turut menjalankan perniagaan?
Malah ada penulis merupakan pekerja pejabat bekerja bermula jam 8:00 pagi hingga 5:00 petang. Jadi pada waktu bila mereka menulis?
Baik, kita anggapkan mereka menulis pada waktu malam. Persoalannya berapa jam pula masa di ambil? Ada yang menjawab setiap hari mereka menulis selama 20 hingga 45 minit. Kurang daripada satu jam!
Ada rakan penulis kami yang memang prolifik menulis selama 20 minit sahaja sehari. Dia memberitahu minggu pertama dia bermula memang seakan tiada apa yang mampu ditulis. Masuk minggu seterusnya barulah dia boleh konsisten menulis 500 patah perkataan sehari!
Ya, dalam tempoh 20 minit!
“Cukupkah masa sebanyak itu?”
Sebenarnya dalam melaksanakan apa kerja dan tugasan sekalipun. Masa itu perkara yang penting.
Namun yang lebih utama adakah kita menggunakan sepenuhnya masa 45 minit itu untuk menulis? Ataupun hanya 10 minit saja menulis selebihnya mencari idea.
Atau lebih parah lagi masa lain dalam tempoh menulis itu digunakan untuk komen gambar yang baru muat naik di media sosial.
Sekiranya kita mahu konsisten menulis tiga hingga enam buah buku setahun, disiplin masa menulis ini perlu dijaga dengan sebaiknya sebagaimana kita menjaga rantai dan cincin emas yang ada dalam simpanan.
Ada juga yang tidak menetapkan masa, tetapi menetapkan jumlah bilangan patah perkataan.
Poin utama di sini, apabila kita mahu menulis, perlu letakkan objektif dengan jelas.
Baik, sekarang kita sudah jelas berkenaan masa menulis. Kita teruskan kepada topik selanjutnya, apa yang perlu dibuat sebelum mula menulis?
Seorang penulis profesional pernah berkongsi, sebelum novel mula ditulis terlebih dahulu mereka akan bincangkan jalan cerita keseluruhan novel. Mudahnya kita sebut sinopsis setiap bab.
Dengan sinopsis setiap bab, penulis tidak perlu lagi menggunakan masa menulis untuk berfikir mencari idea. Mereka hanya perlu menulis saja.
Seperti pengembara yang sudah ada peta perjalanan, mereka tidak perlu lagi mencari maklumat semasa mengembara hanya perlu teruskan melangkah hingga tiba ke destinasi.
“Bagaimana mahu menulis sinopsis setiap bab?”
Kita jumpa dalam artikel seterusnya.

“Saya kehilangan emas… setiap hari!”

“Angan-angan itu percuma.”
Disebabkan ia percuma, maka jika tidak laksanakannya kita juga tidak akan rugi dari sudut kewangan.
Kita semua ada kuasa untuk memilih. Adakah kita mahu mati berjuang ataupun mati menonton televisyen?
Adakah kita mahu belajar berenang ataupun selamanya berada di gigi air sambil melihat orang menyelam hingga ke dasar lautan. Kita ada peluang untuk memilih.
Kita juga boleh mula menulis ataupun menangguhkan sehingga kita ada masa untuk menulis.
“Saya tiada masa untuk menulis.”
Apabila kita sebut tentang masa, sebenarnya Tuhan sudah kurniakan kita masa yang cukup dalam sehari untuk melakukan banyak perkara.
Tuan-tuan pernah lihat seorang menteri boleh berada di tiga negeri dalam masa satu hari? Adakah beliau mempunyai 48 jam sehari ataupun 24 jam sehari sama seperti kita?
Masa ibarat emas. Jika tidak diuruskan dengan betul, ia ibarat kita kehilangan emas hampir setiap saat dan waktu.
Bayangkan jika ada orang mencuri duit dari dalam dompet kita, pastinya kita berasa ingin pukul orang tersebut dengan steering lock. Tetapi apabila diberitahu bahawa kita sendiri yang mencurinya, apa yang ingin kita lakukan?
Apa yang perlu dibuat ialah mengurus masa dengan betul. Sebelum tidur pastikan kita ambil masa 15 minit bagi menyusun jadual untuk hari esok bermula selepas kita bangun lagi hingga tidur semula.
“Saya perlu duduk 12 jam untuk menulis sepanjang hari. Saya tiada masa sebanyak itu.”
Tuan-tuan, jika kita seharian duduk menghadap skrin dan menaip manuskrip. Itu bukan menulis namanya, itu menjemput penyakit.
Menulis tidak semestinya memaksa kita duduk sehingga berjam-jam lamanya. Apa yang perlu dibuat adalah aturkan masa sekitar 20 minit setiap hari untuk menulis.
20 minit itu ibarat tuan-tuan dikurung dalam sebuah penjara yang tidak ada talian komunikasi dengan dunia luar dan media sosial. Yang ada hanyalah laptop dan juga Microsoft Word. Game kad pun tidak ada dalam laptop itu.
Maka teruskan menulis sehingga minit ke 20. Selepas itu boleh rehat dan update status di facebook.
“Saya perlu cari idea, jadi 20 minit tidak cukup untuk saya menulis.”
Insya-Allah ada kaedahnya. Tetapi saya perlu beransur sekarang. Saya akan kongsikan bagaimana caranya untuk kita duduk dan terus mula menulis selama 20 minit tanpa perlu mencari idea dalam masa yang sama.

Rahsia Pahala Berpanjangan Dari Dalam Kubur

Pepatah China ada mengatakan,  “Orang lelaki jangan mati selagi belum menulis satu buku.”
Dalam Islam juga mengatakan salah satu amalan yang boleh dibawa ke kubur adalah pahala dari ilmunya yang bermanfaat yang diamalkan orang lain.

Persoalannya buku apa? Dan persoalan yang lebih awal perlu ditanya apa yang perlu dibuat sebelum mula menulis?

Sudah semestinya kita perlu membaca buku terlebih dahulu sebelum mula menulis. Namun perkara yang lebih utama ialah kita terlebih dahulu harus merangka sinopsis dan perjalanan buku yang bakal ditulis.

“Saya mahu menulis buku!”

Ayat itu hanya ayat angan-angan tanpa tindakan. Ada kemungkinan kita akan mengulang semula ayat itu pada tahun-tahun berikutnya sehinggalah kita dikurniakan cucu.

Tanya kembali kepada diri kita. Mahu tulis novel atau non-fiksyen? Apa temanya? Bila mahu menulis sinopsis setiap bab? Bila mahu merangka watak? Berapa bab mahu ditulis? Berapa muka surat semuanya? Bila mahu bermula? Bila mahu hantar kepada penerbit atau pencetak?

“Saya menulis mengikut ilham yang Allah beri.”

Benar. Menulis mengikut ilham yang diterima adalah kaedah yang betul juga. Tetapi sebagai penulis profesional, kita seharusnya sudah mempunyai perancangan untuk menulis berapa buah buku setahun.

Jika mahu menunggu ilham baru mula menulis, maka kita akan jadi “Penulis Durian”. Setahun hanya sekali saja durian akan gugur. Penulis Durian juga hanya dapat menyiapkan buku setahun sebuah buku.

“Jadi apa yang saya perlu buat sekarang?” 

Sekarang sudah bulan Ogos. Para penulis sudah boleh mula menyediakan sinopsis untuk penulisan sepanjang tahun depan.  Selepas siap sinopsis, teruskan menulis sinopsis setiap bab pula.

“Apa lagi yang saya perlu buat?”

Tulis sinopsis dan siapkan manuskrip!

Group WhatsApp Terbit Idea